Saturday, April 23, 2011

Pengurusan Kewangan




Gagal Merancang

Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya". Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.


Berbelanja Melebihi Kemampuan

Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.
 

Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Lewat Menabung Untuk Hari Tua

Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.


Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.


Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.

Thursday, July 2, 2009

Hormati pandangan orang lain
















MANUSIA yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.

Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.

Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.

Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!

Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.

Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.

Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:

1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.

Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.

Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.

2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.

Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.

Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.

3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.

Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.

Kata bijak pandai 'apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita'.

Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?

Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.